Saya tak perlukan pakaian mahal mengikut trend terkini, cukuplah sekadar yang menutup aurat.
Saya tak harapkan hidangan yang memenuhi meja, cukuplah sedikit makanan bagi meneruskan kahidupan.
Saya tak impikan sebuah singgahsana, cukuplah sekadar tempat perlindungan untuk beribadah kepada Allah.
Saya tak inginkan wajah jelita lagi menawan, cukuplah sekadar rupa yang mampu menyejukkan mata memandang.
Saya takut kemewahan wang ringgit akan membeli masa yang saya luangkan bersama Tuhan, kekasih abadi.
Saya takut keselesaan hidup akan menghapuskan rasa takut kepada kematian dan azab Allah.
Saya takut pangkat dan darjat akan mengulit saya agar terus mengejar dunia dan lupa pada akhirat.
Saya takut nyawa ini disia-siakan begitu sahaja setelah Allah memberikan segala macam nikmat.
Saya tak layak memohon apa-apa dari Allah kerana saya hina, saya kotor. Hati saya hitam dengan dosa, jiwa saya bergelumang maksiat. Saya malu untuk menadah tangan kerana tangan yang memohon ini tangan maksiat. Saya bertaubat pada malam hari dan mengulangi dosa pada siang hari. MasyaAllah, lemahnya saya, jijiknya saya. Adakah anda berasa yang sama?
Tetapi rakan-rakan, ingatlah bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Allah itu sentiasa dekat dengan hambanya. Saya yakin. Anda juga yakin. Jadi, berdoalah kepada Allah selagi pintu taubat masih terbuka.Berilah peringatan kepada orang yang beramal soleh agar tidak riya' dan berilah harapan kepada orang yang berdosa bahawa pintu taubat masih terbuka.
Kerana, hidup saya bukan untuk dunia. InsyaAllah, saya mencari bekalan di akhirat. Begitu juga anda. Namun, sebagai manusia, fitrah kita pelupa. Rakan-rakan, sama-samalah kita mengingatkan satu sama lain tentang tujuan sebenar kita dihidupkan di muka bumi.
Semoga kita dapat bermuhasabah diri. Emm, dah ngantuk-.- Tidur dulu ya, Assalamualaikum :)